Thursday 5 March 2015

AYAT INTI DALAM BAHASA MELAYU

Ayat inti (bahasa Melayu)
Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.
Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti:

1. Frasa Nama + Frasa Nama
2. Frasa Nama + Frasa Kerja
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif
4. Frasa Nama + Frasa Sendi

Frasa ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu patah kata atau rentetan beberapa patah kata yang berfungsi sebagai konstituen dalam ayat, sama ada sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan. Frasa tiada subjek dan predikat. Frasa tidak membawa maksud yang lengkap yang boleh dikatakan sebagai satu ayat.

Frasa Nama + Frasa Nama
Contoh:
1. Ali jiran saya.
2. Kami jiran.
3. Kucing mamalia.
4. Itu guru.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang agak meluas berasal khususnya daripada mereka yang bersikap keinggerisan. Mereka menganggap bahawa perkataan "seorang", "sebuah", dan sebagainya harus disisipkan untuk mewakili artikel a dan an dalam bahasa Inggeris. Umpamanya, ayat (1) di atas dianggap tidak lengkap jika tidak ditulis sebagai "Ali seorang guru". Yang lebih bersikap keinggerisan menganggap ayat yang betul-betul sempurna ialah: "Ali ialah seorang guru." Mereka menganggap "ialah" sebagai terjemahan kopula seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Jadi timbullah anggapan yang salah bahawa sesuatu ayat itu tidak sempurna jika tiadanya "ialah" ataupun "adalah".

Walau bagaimanapun, perkataan "adalah" boleh disisipkan dalam ayat jika seseorang hendak menegaskan maksud, umpamanya:
1. Ali adalah guru.
2. Kucing adalah mamalia.

Kata "adalah" dalam ayat-ayat itu digunakan apabila timbul keraguan yang dapat dibayangkan dengan adanya pertanyaan yang menggunakan kata adakah seperti:
1. Adakah Ali guru?
2. Adakah kucing mamalia?

Kata "adalah" dalam ayat-ayat di atas samalah dengan kata "benarkah" atau "betulkah". Bagaimanapun, ayat yang disertai "adalah" bukan ayat inti lagi.

Frasa Nama + Frasa Kerja
Contoh:
1. Saya menulis rencana.
2. Kami berdiri.
3. Kucing ini menangkap tikus.
4. Syarikat itu membuka kilang.

Predikat ayat inti untuk pola ini dapat diperluas dengan menggunakan kata bantu yang terbahagi dua:
1. kata bantu aspek: akan, belum, masih, sedang, sudah, telah;
2. kata bantu modaliti: boleh, dapat.
Letak kata bantu ialah sebelum kata kerja. Selain itu, predikat untuk ayat ini dapat diperluas dengan menggunakan keterangan seperti: Saya duduk di kerusi. "Di kerusi" ialah keterangan tempat.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kata kerja transitif
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata kerja transitif tanpa objek.

Salah  : Syarikat itu membuka di Pulau Pinang
Betul   : Syarikat itu membuka kilang di Pulau Pinang.
Salah : Kami membincangkan tentang masalah itu.
Betul : Kami membincangkan masalah itu.

Kata kerja intransitif
Satu kesalahan lagi ialah penggunaan kata kerja intransitif tanpa diikuti oleh kata sendi apabila predikat diperluas.

Salah : Saya sedar perkara itu .
Betul : Saya sedar akan perkara itu.
Salah :Dia masih ingat kejadian itu.
Betul : Dia masih ingat akan kejadian itu.

Frasa Nama + Frasa Adjektif
Contoh:
1. Dia bijak.
2. Kami lapar.
3. Anjing itu garang.
4. Pisau ini tajam.

Predikat ayat pola ini dapat dluaskan dengan menggunakan kata penguat yang terbahagi tiga:
1. penguat depan: begitu
2. penguat belakang: sekali, betul
3. penguat bebas: sangat

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata penguat secara berlebihan:

Salah : Dia begitu bijak sekali
Betul : Dia begitu bijak.
Betul : Dia bijak sekali.
Salah : Anjing itu sangat garang betul.
Betul : Anjing itu sangat garang.
Betul : Anjing itu garang betul.

Frasa Nama + Frasa Sendi

Contoh:
1. Saya ke Kuala Lumpur
2. Dia di sekolah.
3. Kami di rumah.
4. Buku ini untuk adik.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah anggapan bahawa frasa sendi tidak boleh berdiri sendiri tanpa kata kerja. Contohnya, ada orang yang beranggapan bahawa:
• ayat (1) mesti ditulis: Saya pergi ke Kuala Lumpur; atau
• ayat (4) mesti ditulis: Buku ini dibeli untuk adik.
Sebenarnya baik disertai kata kerja atau tidak, ayat-ayat itu betul belaka.


6 comments:

  1. Terima kasih Cikgu telah tolong membuat saya lebih faham dgn ayat inti bahasa melayu ni

    ReplyDelete
  2. sye fhm dn sye ske blog ckgu :) ~rabiatul.3 al khawarizmi

    ReplyDelete
  3. Terima kasih cikgu....
    (Siti Nuraisyah ,3B)

    ReplyDelete
  4. terima kasih cikgu untuk perkongsian ini. nota yang sangat berguna kepada saya untuk lebih mahir dalam tatabahasa

    ReplyDelete